Saturday, October 27, 2012

Khutbah dan Doa di Arafah Satu Pengertian.



Kepentingan wukuf sebagai rukun haji jelas ditegaskan dalam sebuah hadith riwayat Ahmad, Abu Daud, Tarmizi, an-Nasa'i dan Ibnu Majah, al-hajju 'arafah, iaitu "Haji itu (ialah wukuf di) Arafah." Semua jemaah berpakaian ihram dan telah memasang niat haji. Jemaah Malaysia biasanya bergerak dari Makkah pada hari tarwiyyah, iaitu tanggal 8 Zulhijjah.  

Kelebihan dan kemuliaan hari wukuf dijelaskan dalam sebuah hadith sahih riwayat Bukhari dan Muslim, mafhumnya:

"Tidak ada satu hari pun apabila hamba Allah lebih ramai dibebaskan dari neraka berbanding dengan hari Arafah. Bahawa Allah Subhanahu Wata'ala dekat kepada mereka, lalu berbangga dengan mereka Malaikat-malaikatnya dengan berkata: Alangkah mulianya keinginan mereka."

Dalam sebuah hadith lain (riwayat Ahmad dan at-Tabrani), sabda Nabi, mafhumnya:

"(Allah berfirman kepada para malaikat): Lihatlah hamba-hamba-Ku! Mereka datang kepada-Ku dengan rambut kusut dan berdebu, kerana mengharapkan Rahmat-Ku. Maka aku bersaksi kepadamu bahawa Aku telah mengampunkan mereka."

‘‘Pada hari itu, Allah gembira sekali jika kita berdoa kepada-Nya. Ia mengabulkan semua doa mereka di sana, sebagaimana sabda Rasullullah SAW, “Di antara berbagai jenis dosa, ada dosa yang tidak akan tertebus kecuali dengan melakukan wukuf di Arafah.”

Penulis turut sama mendengar khutbah di Arafah dan bersolat zohor bersama kesemua jemaah Haji Malaysia.Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom membacakan khutbah sebelum masuk waktu Zohor pada 12.05 tengah hari (5.05 petang waktu Malaysia) dan seterusnya mengimamkan solat Zohor di khemah jemaah haji Malaysia.

Di Arafahlah peluang terbaik untuk menumpukan sepenuh hati ibadah kita kepada Allah swt. Doa di Padang Arafah antara yang paling mustajab. Jamaah haji tidak akan melepas peluang untuk membaca al Quran, berwirid, berzikir, solat sunat dan berdoa.

Hari Wukuf dianggap hari-hari paling mencabar bagi menguji daya ketahanan para jamaah sama ada dari mental, fizikal atau spritual. Suasana yang sangat panas terik membayangkan perhimpunan yang lebih besar, lebih panas dan lebih padat iaitu perhimpunan di Padang Mahsyar.

Pada hari Wukuf, jemaah haji akan berhimpun di Padang Arafah selama separuh hari sebelum ke Muzdalifah. Di Muzdalifah pula, jemaah dikehendaki berada di kawasan itu sekurang-kurangnya beberapa minit termasuk mengutip batu-batu kecil bagi membuat lontaran jamrah di Mina.

Di Mina, jemaah akan tinggal lebih lama iaitu tiga hari pada hari-hari tasriq iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah.








Arafah ialah sebuah padang gersang (walaupun kini telah ditanami pohon yang menghijau) yang dilapisi pasir halus. Terdapat bukit batu pasir yang bernama Jabal Rahmah, iaitu lokasi Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam menyampaikan khutbah terakhir baginda. Arafah juga ialah tempat perkenalan Adam dan Hawa.

 Secara amaliah pula, wukuf di Arafah mencerminkan puncak penyempurnaan haji seseorang.Di Arafah, Rasulullah pernah menyampaikan khutbahnya yang terkenal dengan nama khutbah wada’ atau khutbah perpisahan. Ini kerana tidak lama kemudian setelah menyampaikan khutbah itu, baginda wafat. Pada saat itu, ayat al-Qur’an, surat al-Maa’idah ayat 3 turun sebagai pernyataan telah sempurna dan lengkapnya ajaran Islam yang disampaikan Allah SWT melalui Nabi Muhammad SAW.


Di Arafah Rasulullah SAW mengambil masa terlalu lama berdoa kepada Tuhan. Melihat kepada peristiwa-peristiwa penting itu, dapat difahami kenapa Arafah begitu penting dalam ibadat haji dan di situ para jemaah digalakkan untuk memperbanyakkan zikir, solat sunat, membaca al-Quran, bermunajat dan berdoa. Berdoa di Arafah dikatakan mudah dimakbul doa seseorang. Kerana itu, nabi-nabi menjadikan Arafah sebagai saluran memanjatkan doa kepada Tuhan.



Bagi mereka yang belum pernah menjejakkan kaki ke Arafah, Muzdalifah dan Mina, secara umumnya keadaan di persekitarannya nampak tandus dan gersang. Bukit-bukau berwarna keperang-perangan tanpa ditumbuhi pokok. Luasnya sayup mata memandang. Adakalanya ia kelihatan menakutkan.

Sebab itu ada orang tempatan yang memandu berseorangan cuba mengelak menggunakan laluan ini pada waktu malam.




Di Arafah, jemaah dinasihatkan supaya jangan sekali-kali berharap nasib mereka ditentukan oleh manusia lain bagi mengelak daripada kemurkaan Allah SWT dan Tuhan lebih mengetahui termasuk apa yang terlintas dalam hati manusia.

No comments:

Post a Comment