Tuesday, October 18, 2011

Dari Bandaraya Kuala Lumpur Ke Kota Mekah

Labbaik Allahumma Labbaik , Labbaik, La Shareek Laka, Labbaik. Innal Hamdah, Wan Nematah, Laka wal Mulk, La Shareek Laka Labbaik.

Bacaan talbiah di atas mula berkumandang di dalam pesawat dengan penuh sayu dan sebak sambil diiringi air mata sebaik sahaja pengumuman di lakukan bahawa pesawat akan memasuki kawasan Miqat. Semua jemaah diminta berniat ihram dan membaca talbiah di atas kerana pesawat yang dinaiki penulis bersama lebih 400 orang jemaah haji lagi akan mendarat di Jeddah dan kami akan terus ke Mekah.
Penulis bersama rombongan jemaah haji yang lain berlepas dari KLIA pada awal pagi 17 Oktober 2011 dengan pesawat sewa khas Tabung Haji. Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Jeddah memakan masa selama 8 jam. Manakala perjalanan dari Jeddah ke Kota Mekah memakan masa lebih kurang 2 jam kerana pergerakan lalu lintas yang perlahan di musim haji.

Sebaik sahaja tiba Lapangan Terbang King Abdul Aziz Jeddah , puluhan petugas Tabung Haji telah bersedia menunggu ketibaan kami untuk memudahkan urusan jemaah dari segenap sudut. Kecekapan pengurusan pihak Tabung Haji membuatkan jemaah haji Malaysia tidak menghadapi masalah dengan pihak berkuasa Arab Saudi (Imigresen dan Kastam).
Penulis tiba di tempat penginapan di Kota Mekah menjelang waktu Zohor. Memandang masa yang agak suntuk untuk ke Masjidil Haram penulis menunaikan solat Zohor di surau tempat penginapan. Jam 1.30 tengahari penulis dan beberapa orang rakan-rakan berjalan kaki lebih kurang 800 meter menuju ke Masjidil Haram untuk melakukan Umrah.

Sebaik sahaja melangkah masuk ke Masjidil Haram hati sekali lagi menjadi sayu dan sebak. Pada masa itu Kaabah belum kelihatan lagi. Dengan semangat yang berkobar-kobar penulis terus berjalan menuju ke pintu tengah daripada pintu Marwah untuk menuju ke Kaabah bagi melakukan Tawaf.

Sebaik sahaja melihat Kaabah tanpa di sedari air mata mula bercucuran. Penulis seolah-olah tidak percaya yang penulis pada masa itu sedang berada di depan Kaabah yang selama ini hanya mampu dilihat di sejadah sembahyang dan gambar-gambarnya sahaja.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Ya Allah, hamba bersyukur pada mu kerana dengan kuasa dan izin mu dapat hamba berdiri depan Baitullah ini pada hari ini.
Foto Taib Suhut
Rakan yang bersama-sama Umrah bersama penulis semalam.

Dengan air mata yang masih bercucuran penulis menuju ke sudut Hajarul Aswad bagi memulakan Tawaf sebanyak 7 pusingan. Pada masa itu keadaan tidak begitu sesak kerana cuaca agak panas. Dalam tempoh 30 minit penulis dapat menyelesaikan Tawaf.

Setelah selesai 7 pusingan , penulis lakukan satu pusingan lagi dengan niat hendak menyentuh Kaabah, mengusup Hajarul Aswad, menyentuh Yamani dan berdoa di Hijir Ismail. Semuanya penulis berjaya lakukan kecuali mengucup Hajarul Aswad. Penulis hanya mampu menyentuhnya sahaja.

Selesai Tawaf, penulis berehat seketika di bahagian tangga Masjid sambil meminum air zam-zam yang boleh didapati di segenap sudut Masjid. Kemudian Umrah diteruskan dengan melakukan Saei dari Safa ke Marwah. Bab ini betul-betul menguji kesabaran penulis kerana penulis menghadapi masalah sakit di bahagian kaki. Perjalanan dari Safa ke Marwah lebih kurang 400 meter (sehala). Untuk 7 hala jumlahnya sekitar 3 km.

Selesai Saei perlu pula dilakukan Tahlul, iaitu menggunting tiga helai rambut sebagai tanda kita telah tamat ibadah Umrah. Selepas itu barulah dibolehkan membuka ihram.

Apa yang ditulis diatas ini sebagai pembuka bicara kepada laporan-laporan yang bakal menyusul, yang akan dibawakan oleh penulis dari Kota Makkah. Terlalu banyak perkara yang ingin dikongsikan dengan anda semua. Semuanya bakal menyusul kelak.

Jam 3 pagi semalam waktu Arab Saudi, penulis ke Masjidil Haram dan berdoa di kedudukan tengah antara Hajarul Aswad dengan Multazam. Fikiran benar-benar kosong pada waktu itu. Tidak apa-apa yang lain lagi yang diingati, melainkan ingat kepada Allah dan Rasul. Air mata mencurah-curah tidak berhenti-henti dari awal sehinggalah berakhirnya doa.

Dengan ikhlas hati penulis ingin berpesan kepada mereka-mereka yang belum ke Mekah. Berusahalah anda untuk sampai ke Kota Suci kita ini. Jika tidak dapat haji, dapat umrah pun sudah cukup baik. Penulis tidak tahu apa ayat yang hendak digunakan untuk menggambarkan kesayuan, kedamaian, ketenangan dan keseronokkan berada di Kota ini. Semoga anda semua dapat faham apa yang penulis maksudkan.

11 comments:

  1. Ya Allah ya rahman ya rohim............rindunya aku utk mengunjungi lagi ke rumah-MU, permudahkanlah aku wahai Allah...

    ReplyDelete
  2. Anon 159am,

    Hamba bersama2 mu memanjat doa keHadzrat Allah Subhanahu Taala......Allahu Akbar.

    Alangkah kerdilnya kita....

    LABBAIKALLAH.....

    ReplyDelete
  3. Saya ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih dan syukur kepada penulis kerana kesungguhan penulis dalam menerbitkan blog ini. Saya amat kagum dengan penulisan yang terperinci ini dan doa saya semuga penulis memperolehi apa yang penulis hajati.Syabas kerana mempunyai masa untuk mengupdatekan blog ini. Semuga penulis sentiasa dalam perlindungan Allah SWT dan sentiasa diberikan kemudahan dan kekuatan. Amin!!

    Jokiden, NSDK.

    ReplyDelete
  4. Menitis air mata pabila membaca travelodge saudara. Terasa seperti saya turut berada di sana.

    Saya sudah mendaftar tapi belum sampai giliran lagi. Mudah-mudahan cacatan saudara memudahkan saya memahami suasana di sana dan dapat melakukan ibadah haji dan umrah dengan tertib dan sempurna

    -jln.ledang ke kg.gelam-

    ReplyDelete
  5. membaca catatan ini sudah mampu mengalirkan airmata apa tah lagi kalau betul2 berada di sana... Ya Allah permudahkan lah urusan hambaMu ini...terima kasih saudara atas usaha murni ini.

    ReplyDelete
  6. Salam,

    sila semak dgn Utz di sana...kerana saudara dlm ihram dan menyentuh kiswah (kalu sentuh la). sbb di kiswah tu diletakkan minyak wangi. Wa'llahualam.

    ReplyDelete
  7. Salam,
    Minta kalau boleh ada ustaz yang menerangkan lebih terperinci berkenaan wangian ketika ihram ni. Selalunya memang tidak dibolehkan dan selalu dinasihatkan agar selesaikan dulu umrah. Selepas tahalul barulah boleh kita menyentuh Kaabah, Hajarul Aswad dan Hijir Ismail. Biasanya terdapat wangian padanya.
    Saya bimbangkan semua akan terikut apabila membaca blog ini.
    Wa'llahualam

    ReplyDelete
  8. kpd pali at blog,
    saya tidak mengucup hajarul aswad. saya hanya menyentuh di bahagian luar shj kerana saya masih dlm ihram. begitu juga dgn kelambu kaabah. saya tidak menyentuhnya kerana ianya telah digulung. saya hanya sentuh dinding kaabah.

    menyentuh kaabah atau berdoa di hijir ismail tidak menjadi masalah jika belum lakukan saei. asalkan selesai tawaf umrah 7 pusingan terlebih dahulu.

    terima kasih atas teguran yg diberikan.

    ReplyDelete
  9. Assalam...

    menyentuh dinding Kaabah juga tidak dibenarkan semasa ihram kerana kiswah, hajarul aswad (kecuali besi) dan dinding/ batu kaabah juga turut disapu dengan wagian oleh pihak masjidilharam. Tetapi berdoa di dalam lingkungan hijir Islam adalah dibolehkan.

    Mutawwif.

    ReplyDelete
  10. Assalammualaikum.. saya mohon untuk menyimpan gambar kaabah tu

    ReplyDelete