Thursday, October 20, 2011

Ziarah Sekitar Mekah

King Faisal Road

Semalam penulis dan sekumpulan jemaah-jemaah haji Malaysia mengambil kesempatan untuk melakukan ziarah di sekitar Mekah. Rombongan kami bergerak menggunakan bas dan rombongan dipimpin oleh seorang penduduk Mekah yang berasal dari Patani .

Lokasi pertama yang dituju adalah Jabal Sur. Berada dalam jarak antara 5-6 km dari Masjidil Haram, Jabal Sur menjadi tempat Nabi Muhammad SAW dan Saidina Abu Bakar berlindung dari orang-orang kafir yang cuba membunuh Baginda ketika Baginda dalam perjalanan untuk berhijrah dari Mekah ke Madinah.

Ketika Rasulullah SAW dan Saidina Abu Bakar berada di dalam Gua Sur, Allah SWT memberi pertolongan dengan menghantar malaikat untuk membuat sarang labah-labah sehingga menutup gua tersebut sehingga orang kafir yang sudah tiba di pintu gua merasakan tidak mungkin Nabi Muhammad SAW bersembunyi di situ. Akhirnya mereka pun pulang dengan tangan hampa dan Baginda serta Saidina Abu Bakar pun terselamat dari dibunuh oleh orang-orang kafir.
Selama tiga hari Rasulullah dan Saidina Abu Bakar berlindung dalam gua tersebut dan dalam tempoh tersebut anak perempuan Saidina Abu Bakar, Asma Binti Abu Bakar yang ketika itu sedang mengandung sembilan bulan memanjat gunung tersebut untuk menghantar makanan kepada bapanya serta Rasulullah. Untuk pengetahuan anda, masa dua jam diperlukan untuk memanjat bukit tersebut sebelum sampai di puncaknya yang mana terletaknya gua tersebut.

Selepas tiga hari dan keadaan telah pun selamat , datang Abdullah Bin Uraiqith membawa dua ekor unta untuk dijadikan kenderaan bagi Rasulrullah dan Saidina Abu Bakar berhijrah ke Madinah. Setelah menempuh perjalanan selama enam hari enam malam akhirnya Baginda selamat sampai di Madinah.

Lokasi kedua yang dituju oleh rombongan penulis adalah Padang Arafah, dimana ianya juga turut terletak Jabal Rahmah. Di situlah yang dikatakan tempat pertemuan dan perkenalan antara Datuk dan Nenek kita, iaitu Nabi Adam dan Siti Hawa. Bagi orang yang ingin mencari jodoh, penulis difahamkan di situlah tempat yang sebaik-baiknya untuk berdoa.


Pasangan adik beradik dari Selangor dan Pulau Pinang di Jabal Rahmah

Selain menjadi tempat pertemuan Nabi Adam dan Siti Hawa , Jabal Rahmah juga menjadi tempat Rasulullah berwuquf pada musim haji. Ketinggiannya pada anggaran saya sekitar 500-600 meter dan hanya memerlukan masa 10-15 minit untuk mendakinya. Sebuah papan tanda besar dalam pelbagai bahasa diletakkan di bahagian kaki gunung tersebut untuk mengingatkan pengunjung agar tidak melakukan perbuatan bidaah atau khurafat.

Selepas iu kami dibawa untuk melawat sekitar Mudzalifah dan Mina iaitu tempat jemaah haji bakal mengutip anak batu serta bermalam selama tiga malam. Berbeza dengan di Arafah, di Mina khemah-khemah untuk jemaah telah siap dipasang, manakala di Arafah kelihatan masih belum siap.


Kemudian kami dibawa ke Kampung Ja'aranah untuk membolehkan jemaah-jemaah haji yang ingin melakukan umrah berihram dan berniat. Kampung Ja'aranah adalah miqat Rasulullah setiap kali Baginda pulang dari berdakwah di Taif. Baginda akan berhenti di situ untuk berihram dan berniat sebelum memasuki Tanah Haram untuk melakukan umrah. Untuk pengetahuan anda semua Ja'aranah terletak di luar Tanah Haram.

Pada masa itu Ja'aranah hanyalah sebuah perkampungan yang amat-amat kecil dan dikelilingi oleh gunung-ganang. Ianya hanya dihuni oleh kaum Arab Badwi. Bagaimanapun selepas ianya menjadi miqat Rasulullah kampung berkenaan mula membesar dan terus membesar. Kini ianya dikunjungi ribuan orang sehari.

Masjid Ja'aranah yang menjadi tempat miqat sebelum umrah

Tangki air@telaga

Di tempat yang menjadi miqat Rasulullah itu terdapat sebuah telaga. Pernah terjadi seorang wanita yahudi yang cuba membunuh Rasulullah dengan meletakkan racun di dalam telaga tersebut kerana marah kepada Baginda akibat dari kegiatan-kegiatan dakwah yang dijalankan Baginda yang mengajak semua orang beriman kepada Allah.

Bagaimanapun cubaan musuh islam itu gagal, kerana ketika Nabi SAW menimba air dari dalam telaga tersebut dan memasukkan ke dalam mulut Baginda, sebelum ditelan Allah telah menurunkan wahyu kepada Baginda mengatakan air itu beracun. Lalu Baginda meludah kembali air di dalam mulutnya itu ke dalam telaga itu, dan semua racun dalam telaga tersebut hilang. Telaga tersebut masih wujud dan masih mengeluarkan air sehingga ke hari ini. Bagaimanapun ianya telah berubah kerana kini air yang diambil bukan lagi melalui cara timba, sebaliknya dengan cara menyedut menggunakan paip dan sebuah tangki besar dibina diatasnya.

Destinasi ziarah kami seterusnya adalah Jabal Nur dimana terletaknya Gua Hira. Di gua tersebutlah Nabi Muhammad SAW pertama kali menerima wahyu Allah melalui Malaikat Jibril. Disitulah turunnya ayat Quran yang pertama iaitu ayat Iqra (Surah Al-Alaq) dan disitulah juga bermulanya peristiwa Nuzul Quran yang kita sambut sehingga kini setiap kali Ramadhan.
Jabal Nur
Untuk mendakinya perlu masa 1.5 jam

Destinasi terakhir rombongan kami adalah Kubur Ma'ala, yang mana ianya turut menempatkan kubur isteri Nabi Muhammad SAW, Saidatina Khatijah R.A serta anaknya Qasim. Kubur Ma'ala juga menjadi tempat jemaah-jemaah haji yang meninggal dunia dikebumikan.

Kubur Ma'ala wujud sejak zaman Rasulullah SAW , entah berapa juta jenazah telah dikebumikan disana tetapi masih digunakan sehingga ke hari ini sedangkan daripada pemerhatian mata kasar penulis keluasan tanahnya lebih kecil dari Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara Kuala Lumpur. Tetapi kubur Ma'ala tidak menghadapi masalah tidak cukup tanah sepertimana yang sering terjadi di Malaysia kerana kubur tersebut mengamalkan sistem 'recycle' lubang kubur. Selepas tempoh 8 bulan satu-satu jenazah dikebumikan, kubur tersebut akan digali semula untuk dikebumikan jenazah lain pula.
Kubur Ma'ala
Tidak ada sebarang batu nisan dipacak atau belindan dipasang

Rombongan ziarah tamat menjelang waktu Zohor dan banyak pengalaman yang berharga yang berjaya kami kutip dalam tempoh separuh hari ziarah berkenaan. Suka saya hendak mengesyorkan kepada orang-orang muda di negara kita, datanglah ke Mekah. Jika tidak datang haji sekali pun datanglah untuk umrah kerana banyak pengalaman-pengalaman berharga yang boleh kita kutip. Tidak perlu untuk kita hendak merasa takut atau berfikiran Mekah hanya untuk orang tua-tua atau orang yang telah insaf. Buangkan tanggapan tersebut.

Jiwa kita akan tenang, aman dan tenteram sepanjang kaki kita berpijak di Tanah Haram. Ianya benar-benar membuatkan kita menginsafi diri. Fikiran kita sudah tidak ingat perkara-perkara lain pada ketika itu, yang kita ingat hanyalah Allah, Nabi dan siapa kita sebelum itu. Apabila termenung sendirian, tanpa disedari air mata akan meleleh dengan sendiri kerana menginsafi diri.

Padang Arafah

Padang Arafah

Jabal Rahmah

Papan tanda peringatan di Jabal Rahmah agar pengunjung tidak melakukan perbuatan bidaah atau khurafat

Orang Melaka

Ais krim Mekah


Pakcik dan Makcik juga dari Melaka

Jemaah Malaysia yang ingin melalukan umrah berihram di miqat Kampung Ja'aranah

Sempadan Tanah Halal dan Haram

4 comments:

  1. Menziarahi tempat2 bersejarah diTanh Suci merupaka ziarah didalam ziarah, kerana menziarahi Tanah Suci Makkah adalah sabenar2 ziarah.

    Berbahagialah tuan/puan2 yang terpilih sebagai tetamu Allah, muga2 setiap pekerjaan yang tuan/puan2 lakukan mendapat ganjaran sapertimana yang Allah janjikan..

    LABBAIKALLAH.....

    ReplyDelete
  2. satu kupasan yang amat menarik, syabas saudara.

    ReplyDelete
  3. Romantik laa pasangan orang Melaka. Berbahagialah para jemaah yang dapat pergi bersama pasangan tercinta.

    Semoga beroleh haji yang mabrur.

    Bila pula giliran saya ke sana? Doakan ya saudara.

    -orang Melaka la juga-

    ReplyDelete
  4. semoga semua mendapat haji yang mabrur!

    ReplyDelete