Friday, October 7, 2011

Kira-kira 18.31 Peratus Jemaah Haji Malaysia Sudah Sampai Ke Madinah

Sehingga 5 Oktober kira- kira 18.31 peratus daripada jemaah haji Malaysia sudah tiba di tanah suci, sejak penerbangan pertama mendarat di lapangan terbang antarabangsa di Madinah pada 29 Sept lepas.

Ketua Rombongan Haji Datuk Syed Salleh Syed Abdul Rahman berkata sejak semalam, penerbangan KT14 yang membawa jemaah haji dari Malaysia mula mendarat di Jeddah, dan jemaah haji kemudiannya dibawa dengan bas-bas ke Madinah.

Beliau berkata selepas 21 Okt barulah jemaah haji yang tiba di Jeddah akan terus dibawa masuk ke kota Makkah dan penerbangan terakhir ke Jeddah yang membawa jemaah ke Makkah ialah pada 30 Okt.

"Jumaat ini kumpulan jemaah yang pertama seramai 440 yang tiba di Madinah pada 29 Sept lepas akan mula dibawa masuk ke Makkah dengan bas," katanya kepada kumpulan petugas media Tabung Haji di sini Rabu.

Katanya operasi haji sehingga kini berjalan lancar dan semua jemaah kelihatan berpuas hati dengan pengendalian urusan haji, bersemangat tinggi dalam mengikuti semua aktiviti ziarah yang disediakan, di samping mengikuti pelbagai aktiviti lain seperti ceramah dan bimbingan agama.

Syed Salleh berkata semua jemaah haji Malaysia di Madinah ditempatkan di lima hotel di sini, yang semuanya terletak tidak lebih daripada 300 meter dari Masjid Al-Nabawi.

Beliau berkata pihak Tabung Haji sentiasa berusaha meningkatkan kualiti penginapan, sajian makanan, dan perkhidmatan yang diberi kepada jemaah haji.

Menurutnya Tabung Haji menyediakan 800 petugas dalam pelbagai bidang bagi membantu melicinkan perjalanan haji tahun ini, dan sejak 21 Sept sehingga kini, 335 daripada mereka sudah berada di tanah suci, antaranya ialah 154 petugas kebajikan dan 127 petugas petugas perubatan.

Terdahulu beliau mempengerusikan mesyuarat dengan semua pengarah operasi pelbagai jabatan di sini bagi meninjau perkembangan terkini operasi haji tahun ini.

Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment