Wednesday, October 19, 2011

Bilangan Jamaah Semakin Bertambah

Suasana selepas solat subuh pagi rabu

Suasana di Kota Mekah hari ini amat-amat berbeza sekali jika dibandingkan dengan hari yang penulis tiba di Kota ini. Bilangan jemaah semakin ramai dan dijangka akan bertambah ramai menjelang hari Wukuf pada 9 Zulhijah kelak. Jika dua hari lepas serta semalam penulis masih lagi dapat menyentuh Kaabah, hari ini penulis gagal melakukannya kerana jumlah jemaah yang begitu ramai.

Bilangan jemaah haji Malaysia juga semakin bertambah. Angka tidak rasmi yang difahamkan kepada penulis mengatakan hampir 60 % jemaah kita telah pun tiba di Mekah samada dari Madinah atau dari Malaysia. Salah seorang jemaah yang baru tiba di Mekah hari ini dari Madinah adalah penulis blog humor, Husin Lempoyang.
Antara jemaah Malaysia yang baru tiba sedang menuju ke Masjidil Haram bagi melakukan Umrah sebelum mereka dibolehkan membuka ihram.
Lagi gambar di bahagian bawah

Penulis ingin berkongsi pengalaman selama tiga hari berada di Mekah bersama orang ramai terutamanya ahli-ahli keluarga jemaah haji yang berada di tanah air. Penulis faham dan dapat merasakan perasaan ahli-ahli keluarga di tanah air. Bermacam-macam perkara yang mereka fikirkan tentang waris-waris mereka yang berada di Tanah Suci terutamanya di kalangan jemaah yang agak berusia.

Penulis ingin berpesan kepada ahli-ahli keluarga, jangan bimbang dan jangan susah hati. Di sini semuanya dilayan dengan baik oleh pihak Tabung Haji. Layanan yang diberikan boleh ditakrifkan sebagai lima bintang. Tidak timbul sama sekali tanggapan yang mengatakan jemaah muasasah mendapat layanan kelas kedua dan jemaah pakej mendapat layanan kelas pertama.

Yang membezakan antara jemaah muasasah dan jemaah pakej adalah tempat tinggal serta bilangan ahli kumpulan. Jemaah muasasah tinggal di maktab-maktab Tabung Haji yang boleh dikatakan setaraf hotel 3 bintang, di mana setiap bilik menempatkan 4-6 orang jemaah sebilik dan jarak antara maktab ke Masjidil Haram 500 hingga 1000 meter.

Manakala jemaah pakej pula tinggal di hotel-hotel 3 - 5 bintang bergantung kepada harga yang dibayar mereka dan kebanyakan hotel-hotel mereka berada dalam jarak lingkungan kurang 500 meter dari Masjid.

Layanan baik pihak Tabung Haji terhadap jemaah-jemaah haji bermula dari saat jemaah melaporkan diri di Kelana Jaya. Setelah selesai urusan melapor diri dan taklimat di Kompleks Haji Kelana Jaya jemaah dibawa dengan bas ke KLIA dengan diiringi sepenuhnya oleh polis.

Tiba di KLIA bas-bas yang membawa jemaah masuk melalui pintu khas sehingga jemaah diturunkan di pintu pelepasan dan seterusnya masuk ke dalam pesawat mengikut warna boarding pas bagi mengelakkan kesesakan.

Di dalam pesawat juga jemaah dilayan dengan baik dari segenap aspek seperti layanan di dalam penerbangan komersial walaupun itu adalah penerbangan sewa khas Tabung Haji. Tiba di Jeddah, jemaah hanya perlu mengambil bagasi mereka di tempat kutipan bagasi untuk tujuan pemeriksaan Kastam Arab Saudi. Selepas urusan kastam , bagasi-bagasi jemaah terus diambil oleh petugas-petugas Tabung Haji untuk dibawa tempat penginapan. Jemaah tidak perlu fikir susah payah untuk menarik, menolak atau memikul bagasi yang bersaiz besar, kerana semuanya diuruskan oleh pihak Tabung Haji.

Di maktab-maktab penginapan di Mekah segala kemudahan dan kelengkapan yang merangkumi pelbagai aspek ada disediakan. Klinik, pakar rujuk ibadat haji, pakar kaunseling, restoran makanan Malaysia, kedai-kedai barangan keperluan harian, kedai dobi, kedai telefon, kedai jahit, perkhidmatan penghantaran barangan ke Malaysia dan bermacam-macam lagi. Yang susah hanya untuk kaki-kaki rokok, yang lain semuanya senang. Rokok tidak dibenarkan dijual di kawasan Tanah Haram. Jika ada dijual pun secara tersembunyi.

Petugas-petugas Tabung Haji yang memakai jaket hitam yang tertera perkataan TABUNG HAJI dan bendera Malaysia berada di merata-rata tempat yang menjadi tumpuan jemaah Malaysia. Antara tempat yang mereka berada di Masjidil Haram dan di kawasan membeli-belah kerana di kawasan-kawasan tersebut yang selalu berlaku kes jemaah sesat kerana kekeliruan pintu atau jalan.

Bagi yang sesat , mereka hanya perlu memberikan tag nama mereka untuk tujuan pengesahan. Setiap tag nama jemaah terdapat kod bar yang mengandungi pelbagai maklumat jamaah di dalamnya. Dengan hanya sekali imbas , petugas Tabung Haji akan mengetahui dimanakah tempat tinggal jemaah berkenaan dan mereka akan dihantar pulang oleh petugas Tabung Haji.

Pertolongan atau bantuan bukan setakat datang dari kakitangan Tabung Haji sahaja, terdapat juga yang datang daripada sesama jamaah kerana kita berada disini seperti sebuah keluarga. Yang muda tolong yang tua, yang tua dihormati dan yang muda dikasihi. Semua orang hendak melakukan perkara baik di tempat yang baik kerana ganjarannya besar.

Sebagai contoh lihat gambar di bawah ini, dua makcik dari sebelah kanan adalah jemaah dari Gua Musang Kelantan. Mereka berdua tinggal sebilik dengan jemaah wanita yang lebih muda dari Trengganu. Setiap hari dua makcik berkenaan akan bersama-sama dengan jemaah wanita muda berkenaan beserta suaminya untuk ke Masjidil Haram. Inilah yang dinamakan yang tua dihormati dan yang muda dikasihi. Saya kagum melihat keakraban mereka walaupun mereka tidak mengenali satu sama lain sebelum ini. Mereka hanya kenal di bumi Mekah, tetapi mereka hidup bagaikan satu keluarga.

Akhir kata sebagai penutup penulis sekali lagi ingin berpesan kepada ahli-ahli keluarga atau waris-waris jemaah haji yang berada di tanah air, anda semua tidak perlu risau atau bimbang dengan ahli keluarga anda di Tanah Suci kerana semuanya dijaga dengan baik oleh Tabung Haji. Mereka mempunyai cukup kakitangan dan pengalaman untuk menguruskan 28'000 orang jemaah Malaysia.

En Ahmad Suhaimi bersama isterinya (dua dari kiri), Puan Anisah Abd Mubin dari Kuala Trengganu.
Tiga dan empat dari kiri ,Puan Hasnah Ibrahim dan Kalsom Jusoh dari Gua Musang.

Antara jemaah Malaysia yang baru tiba dibawa oleh petugas Tabung Haji ke Masjidil Haram untuk melakukan Umrah

Dua jamaah wanita Malaysia sedang membaca Quran di Masjidil Haram selesai solat subuh pagi rabu

2 comments:

  1. Malaysia harus bershukur dengan khidmat teratur dan terbaik daripada pihak Tabong Haji.

    Satu kebanggaan diTanah Suci dimana kita pergi dan berurusan kita senantiasa mendapat pujian, 'MALAYSIA BAGUSH' Alhamdulillah...

    LABBAIKALLAH.....

    ReplyDelete
  2. MENARIK SEKALI KALAU BLOG NI DI UPDATE DARI MASA KESEMASA.... SERONOK DAPAT BERSAMA JEMAAH YANG BERADA DI MEKAH DAN MADINAH WALAUPUN SAYA BERADA JAUH DI MALAYSIA... SYABAS TAHNIAH BUAT SEMNUA JEMAAH HAJI.

    ReplyDelete