Monday, November 7, 2011

Seribu Satu Kerahmatan Di Sebalik Debu-Debu Di Arafah


Labbaik Allahumma Labbaik,  Labbaik La Shareek Laka, Labbaik, Innal Hamdah, Wan Nematah, Laka wal Mulk, La Shareek Laka.

Datang dengan pelbagai cara dan gaya. Ada yang datang dengan bas mewah, ada yang datang dengan bas biasa, ada yang datang dengan duduk diatas bumbung bas, ada yang berjalan kaki, ada yang berkerusi roda, ada yang naik lori, ada yang datang dengan ambulans dan bermacam-macam cara lagi. Tidak kira dengan apa mereka datang, dari mana dan bangsa apa , semuanya datang dengan satu matlamat iaitu menyahut panggilan Allah SWT. 

Sekali pandang tidak akan nampak apa yang istimewa berada di Bumi Arafah.  Tanah yang gersang, kering kontang, berdebu, berbukit-bukau, hinggakan tidak ada orang hendak bermaustatin disana. Akan tetapi di sebalik semua itu Arafah ada seribu satu kerahmatan yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Bagi orang yang pernah sampai disana mereka akan tahu kenikmatan berada di Padang Arafah.

Saya hendak berkongsi dengan anda semua pengalaman kali pertama saya berada di bumi Arafah pada hari wukuf.

Saya tiba di Arafah pada hari Jumaat , 8 Zulhijjah jam 4 petang. Ini bermakna saya berada di Arafah 20 jam sebelum wukuf bermula. Selain daripada melakukan ibadat wajib dan sunat kesempatan juga saya ambil untuk berjalan-jalan sambil berkenalan dengan jemaah-jemaah negara lain. Inilah yang dinamakan mengeratkan silaturrahim. Pada waktu itu saya benar-benar bangga menjadi rakyat Malaysia. Kita dihormati dan diterima dengan baik.

Masa yang dinanti telah tiba, fajar pagi 9 Zulhijjah mula menyinsing. Waktu zohor pada jam 12.05 tengahari. Sementara menanti waktu zohor semua jemaah diminta mengisi masa terluang dengan berzikir, solat dhuha serta solat hajat. Masuk sahaja waktu zohor Khutbah Arafah mula dibacakan. . Tidak ada azan yang dilaungkan semasa masuk waktu zohor. Azan zohor dilaungkan serentak dengan khutbah kedua.

Selepas khutbah kita akan akan bersembahyang zohor dan asar secara jamak tamam. Selepas solat , itulah waktu yang sebenar-benarnya untuk kita. Daripada situ hinggalah ke matahari terbenam kita harus gunakan waktu itu sebaik mungkin untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT kerana pada waktu itu pintu langit terbuka. Selain daripada melakukan amalan-amalan lain kita digalakkan untuk berdoa di luar khemah pada waktu itu kerana doa pada waktu itu akan dimakbulkan Allah. 

Bab inilah yang saya hendak kongsikan dengan anda. Inilah saat-saat yang paling mengharukan dalam hidup kita. Air mata tak usah nak dibicarakan lagi. Banyaknya tidak terkira. Semuanya keluar dengan sendiri tanpa disedari hinggakan ada jemaah yang meraung-raung. Pada masa itu kita akan insaf dengan segala dosa-dosa atau kesilapan-kesilapan yang telah kita lakukan sebelum itu. Saat itu ketika berdoa saya terbayang-bayang wajah ibu dan bapa saya di tapak tangan, hingga satu ketika saya rasa seperti hendak pengsan. Lantas saya terus menghubungi ibu dan memohon ampun darinya sekali lagi walaupun saya telah berbuat demikian sebelum berangkat ke sini. Ada beberapa perkara yang saya tidak boleh kongsikan disini kerana ianya terlalu peribadi. Tetapi apa yang saya hendak ingatkan kepada semua termasuk diri saya sendiri, janganlah sesekali kita mengenepikan ibu bapa kita atau memencilkan mereka. Anak yang derhaka bukan hanya anak yang menengking, menyepak atau memukul ibu bapa. Anak yang hanya bertemu dengan ibu setahun sekali atau dua kali di waktu Hari Raya pun boleh dikira anak derhaka.

Doakan apa sahaja yang kita hajati pada masa itu, asalkan jangan berdoa minta dijatuhkan bala kepada saudara sesama muslim. Sesiapa yang berdoa seperti itu akan diterbalikkan doa itu terhadapnya. Saya juga mengambil kesempatan untuk berdoa agar negara kita sentiasa dirahmati dan dilindungi Allah SWT. Tidak lupa juga supaya umat-umat islam di Malaysia bersatu padu di bawah satu payung dan dosa semua pemimpin-pemimpin tidak kira dari parti politik mana sekali pun diampunkan.

Masa berlalu begitu pantas, lima jam setengah seolah-olah terlalu cepat. Matahari semakin menurun dan menurun. Doa terakhir sebelum matahari terbenam, Ya Allah Ya Tuhanku, janganlah jadikan perpisahan di Bumi Arafah hari ini sebagai perpisahan terakhir bagi diri hamba. Bawalah lagi hamba ke sini wahai Ya Allah. Amin....

Saya pernah berjalan merata-rata tempat, tetapi saya tidak pernah rasa ketenangan dan keseronokkan berada di bumi Mekah, Arafah dan Mina. Jika saya tahu beginilah keseronokkan berada di bumi Mekah serta kenikmatan mengerjakan haji sudah pasti 10-15 tahun dulu lagi saya sudah datang. Yang tidak pernah datang mungkin tidak merasai keseronokkan serta kenikmatannya. Sekarang baru saya faham kenapa orang yang sekali datang ke Mekah , mereka akan hendak datang dan datang dan terus datang. Kalau boleh tiap-tiap bulan mereka hendak datang.

Kepada sesiapa yang ada kemampuan, tetapi tidak pernah datang ke Mekah, datanglah. Jika tidak dapat datang untuk haji, datanglah untuk umrah. Sesungguhnya kita akan jumpa apa yang kita tak jumpa dalam hidup kita selama ini dan insyallah kita akan dapat apa yang kita tak dapat selama ini.
 














Adun Changkat Jering, Perak

















Krew RTM sedang melakukan lintas langsung dari atas bukit di Arafah

5 comments:

  1. Hampir setiap hari mengikuti perkembangan ibadat haji. Kalau tak di TV1, saya akan buka Astro Awani dan tak ketinggalan di ruangan ini pasti saya akan kunjungi.

    Insya'allah jika diberi ruang dan peluang saya dan orang rumah merancang untuk mengerjakan umrah pada cuti persekolahan hujung tahun hadapan.

    Kalau tunggu giliran haji pula tahunnya 2027. Lama tu. Agaknya kami mendapat seruan dan berkat kerana selalu melayari blog ini kot?

    Ini pun hati dah rasa berbunga ... Syukur alhamdulillah.

    -jln.ledang ke kg.gelam-

    ReplyDelete
  2. Masyaallah!!! Terima kasih tidak terhingga sekali lagi atas perkongsian pengalaman serta gambar-gambar yang istimewa ini. Dalam kesibukan beribadat penulis masih sempat untuk melakukan ini semua.Izinkan saya menyalin satu dua photo2 tersebut. Syukur Tuan..

    Jokiden, NSDK

    ReplyDelete
  3. Salam, memang benar apa yang diperkatakan sekali kita hadir disana akan mahu datang lagi jika boleh datang berulang-ulang dan begitulah pengalaman saya ketika pertama kali mengerjakan umrah beberapa tahun lalu..membaca tulisan saudara buat saya tersentuh hati insyah-Allah moga Allah izinkan dan tiada halangan tahun depan saya dan anak2 saya akan hadir disana menunaikan rukun ke5 ini, mohon di doakan semoga hasrat saya dimakbulkan Tuhan, terima kasih kerana berkongsi pengalaman ditanah suci.

    ReplyDelete
  4. Salam Saudara,
    Ramai yang masih menanti giliran untuk dijemput sebagai tetamuNya walaupun sudah lengkap semua syarat syarat. Ada yang bertahun menunggu. Apabila dibandingkan dengan mereka ini, betapa kita ini yang telah mengalami pengalaman haji ini terasa insaf dengan nikmat yang telah Allah kurniakan. Kepada yang masih menanti hanya Allah sahajalah yang tahu rahsia penantian itu dan rahmat disebaliknya.

    ReplyDelete
  5. salam..
    rasa sebak bila berpeluang berkongsi kisah di mekah..rasa hati meronta ronta untuk kesana..semoga ALLAH makbulkan....

    ReplyDelete