Friday, October 28, 2011

Padang Arafah


Khamis petang saya mengikuti rombongan pihak Tabung Haji melawat Padang Arafah untuk meninjau persiapan menjelang hari Wukuf yang hanya tinggal 9 hari sahaja lagi.

Kerja-kerja persiapan sedang giat dijalankan. Lebih kurang 3000 khemah yang akan digunakan untuk menempatkan jemaah-jemaah haji Malaysia termasuklah untuk petugas Tabung Haji, pasukan perubatan dan dapur untuk memasak makanan bagi jemaah. Tabung Haji diperuntukkan 15 kawasan untuk jemaah Malaysia. Bermula dari kawasan nombor 85 hingga ke nombor 100 yang terletak berhampiran  dengan jalan raya besar dan ianya akan memudahkan urusan keluar masuk pengangkutan mengangkut jemaah.

Jemaah Malaysia dijangka mula bergerak ke Arafah pada 8 Zulhijjah 1432H selepas solat jumaat secara berperingkat-peringkat sehinggalah ke tengah malam hari yang sama. Hanya 10-12 jam sahaja masa yang ada untuk pihak Tabung Haji membawa semua jemaah ke Arafah.
 

Operasi membawa jemaah haji ke Arafah adalah satu-satunya operasi yang mencabar bagi pihak Tabung Haji. Ini kerana dalam tempoh yang pendek mereka perlu pastikan semua jemaah telah berada di Arafah sebelum waktu zohor 9 Zulhijjah. Tabung Haji amat berhati-hati dalam operasi ini kerana sebarang kesilapan atau kecuaian yang menyebabkan jemaah gagal sampai di Arafah akan menyebabkan Haji seseorang jemaah itu tidak sah. Ini kerana wukuf adalah Rukun Haji.

Saya difahamkan rekod Tabung Haji tidak pernah ada sejarah yang berlaku akibat kecuaian mereka yang menyebabkan jemaah gagal melakukan Wukuf. Dalam apa cara, tidak kira bagaimana keadaan jemaah sekali pun walaupun sedang sakit terlentang mereka tetap akan bawa jemaah itu ke Arafah walaupun seketika. Melainkan jemaah yang tidak sedarkan diri, itu pun setelah mengambil kira pandangan pakar rujuk haji dan doktor.

Jemaah yang sedang dirawat di hospital akan dibawa dengan ambulan ke Arafah. Mereka hanya akan berada disana untuk seketika dan ditemani doktor. Syarat wukuf adalah berada di Arafah seketika dari waktu Zohor hingga terbenam matahari 9 Zulhijjah.

Selain pihak Tabung Haji , pihak kerajaan Arab Saudi juga sibuk melakukan persiapan di Arafah. Semua agensi-agensi keselematan,polis, tentera dan bomba mereka sedang bertungkus melakukan persiapan masing-masing. Ribuan motosikal polis trafik dan ratusan trak-trak penunda telah berada disana untuk memastikan kelancaran trafik pada hari berkenaan.



Blogger Husin Lempoyang bersama van yang menjual ais krim di sekitar Padang Arafah 
 

Tuesday, October 25, 2011

Hotel Paling Jauh 1000 Meter Paling Dekat 475 Meter


Rata-rata jemaah haji Malaysia (jemaah muasasah) yang ditemui melahirkan perasaan puas hati dengan perkhidmatan yang diberikan oleh Tabung Haji, cuma ada di kalangan mereka yang mengeluh mengenai jarak hotel (maktab) penginapan jauh dari Masjidil Haram. Setiap tahun itulah masalah yang dihadapi Tabung Haji.

Saya ada mendapat sedikit info dari pihak Tabung Haji dan juga info dari pemerhatian saya sendiri. Saya berhajat untuk berkongsi info-info ini dengan ahli-ahli keluarga jemaah kita di tanah air.

Terdapat 18 hotel yang digunakan oleh Tabung Haji untuk menempatkan 23'000 ribu orang jemaah haji muasasah. Jumlah keseluruhan jemaah Malaysia 28'000 orang. Seramai 5000 orang mengikuti pakej.
Dua bangunan Hotel Luluat Al Tawheed yang menempatkan Maktab 92 dan 93 bagi jemaah muasasah Malaysia

Jarak hotel yang paling jauh dengan Masjidil Haram adalah Hotel Raudhat Al Shorouq dan Hotel Manar Al Shorouq dengan jaraknya 1000 meter. Manakala yang kedua jauh adalah Hotel Luluat Al Tawheed, kira-kira 950 meter. Difahamkan jarak itu diukur sendiri oleh Ketua Rombongan Haji Malaysia dengan berjalan kaki dari Masjid sehingga ke hotel-hotel berkenaan sambil menolak pengukur beroda.

Manakala hotel yang menempatkan jemaah muasasah yang berada pada jarak yang paling dekat dengan Masjid adalah Hotel Burj Al-Haram dengan jarak 475 meter, manakala yang keduanya adalah Hotel Marwah Al Naga dengan jarak 550 meter.

Berbeza dengan sesetengah jemaah negara lain. Ada diantara mereka yang tinggal melebihi jarak 2000 meter. Malah ada yang sehingga ke 5-6 kilometer jauhnya dari masjid.

Dengan bayaran sebanyak RM 14'340.00 selama 40 hari untuk di Mekah dan Madinah merangkumi tambang penerbangan , makan tengahari dan makan malam, penginapan serta pengangkutan lain bagi setiap jemaah muasasah adalah sesuatu yang mustahil bagi pihak Tabung Haji mendapatkan hotel yang baik dalam jarak 100-300 meter dari Masjidil Haram.

Ini kerana semua hotel di kawasan tersebut mengenakan kadar sewa yang tinggi pada musim haji, hingga mencecah ribuan ringgit untuk satu hari walaupun kelas hotelnya setaraf dengan hotel-hotel yang digunakan oleh Tabung Haji sekarang. Perlu diingat, hartanah yang berada di sekitar Masjidil Haram bernilai amat-amat tinggi. Sebab itulah untuk jemaah-jemaah yang menyertai pakej mereka sanggup bayar dengan harga yang tinggi kerana mereka mahu tinggal berdekatan dengan Masjid.
 
Nota: 
Bayaran haji muasasah - RM 14'340.00
Bayaran dari jemaah- RM 9980.00
Subsidi dari Tabung Haji (jemaah kali pertama sahaja) - RM 4360.00
Tiada sebarang subsidi untuk jemaah pakej

Ada juga terdapat hotel-hotel biasa di sekitar Masjid, tetapi ianya benar-benar hotel biasa yang kecil hingga lobi pun tiada. Itu pun sudah tidak banyak sekarang kerana menurut seorang rakyat Malaysia yang berpengalaman di Mekah, katanya banyak yang sudah dijual dan dirobohkan untuk tujuan membina hotel-hotel mewah kerana permintaan yang tinggi di sekitar kawasan tersebut.

Pihak Tabung Haji memerlukan hotel yang besar serta mempunyai ruang yang luas kerana mereka mempunyai pelbagai aktiviti untuk jemaah sementara menunggu hari wukuf. Antaranya bimbingan mengerjakan haji, ceramah-ceramah agama serta taklimat. Mereka juga perlu menyediakan klinik, bilik rawatan, farmasi , surau kaunter kewangan dan pelbagai lagi, semuanya untuk kesenangan para jemaah.

Solat di Masjidil Haram pahalanya 100 ribu kali ganda dari solat di masjid-masjid lain. Sebab itulah semua jemaah berkehendakkan hotel yang dekat dengan Masjidil Haram supaya senang untuk mereka berulang alik demi untuk mengejar ganjaran yang dijanjikan Allah SWT. Tetapi jangan lupa, Allah juga menjanjikan pahala yang besar dalam solat sekiranya seseorang itu mengharungi perjalanan yang jauh untuk mengerjakan solatnya.
Jemaah sedang menunggu giliran untuk urusan kaunter kewangan Tabung Haji di Hotel Luluat Al Tawheed


En Anuar Abdul Hamid dan Puan Asiah Ibrahim dari Kajang Selangor sedang menunggu giliran untuk berjumpa doktor.
En Yaakob Mohd Noor dari Pulau Pinang 
 
 Ketua Rombongan Haji Malaysia turun padang melawat operasi harian demi untuk memastikan perkhidmatan yang terbaik untuk jemaah haji Malaysia sejajar dengan motonya Bersama Santuni Dhuyufurrahman (Tetamu Allah)

Gambar-gambar kandid yang sempat dirakam di  lobi Hotel Luluat Al Tawheed

Monday, October 24, 2011

Kemeriahan Kota Mekah

 Selepas solat subuh gerai diatas yang terletak diluar Masjidil Haram akan menjadi tumpuan jemaah untuk mendapatkan sarapan pagi.

Selepas membeli sarapan kawasan lapang depan Masjidil Haram akan dijadikan medan berkelah dikalangan jemaah. Kesempatan juga diambil untuk berkenalan antara satu sama lain serta mengeratkan ukhwah sesama muslim tanpa mengira negara , bangsa atau keturunan. Suasana sungguh meriah.

 Salah seorang jemaah haji Malaysia yang berkelah di kawasan lapang tersebut

 Suasana di tempat Saei dari Bukit Marwah ke Bukit Safa selepas solat zohor semalam

 Suasana di depan Kaabah selepas zohor semalam

Menjelang waktu asar semalam jemaah mula berduyun-duyun ke Masjidil Haram. Tiap-tiap waktu sembahyang kebiasaannya jemaah tiba antara 1-2 lebih awal untuk mendapatkan ruang solat yang baik serta melakukan amalan sunat-sunat demi merebut ganjaran besar yang dijanjikan Allah terhadap umatnya terhadap amalan-amalan yang dilakukan dalam Masjid tersebut.

Dalam hal ini ada berlaku kekeliruan di kalangan jemaah. Ramai jemaah yang sembahyang dan beriktikaf di kawasan saei yang menghubungkan Bukit Safa dan Marwah atau sebaliknya. Mereka keliru kerana kedudukan kawasan saei dan Masjid bersambung. Sedangkan yang sebenarnya tempat saei tidak termasuk dalam kawasan masjid. Apabila ianya tidak termasuk dalam kawasan Masjid, sebarang amalan yang dilakukan di situ tidak akan mendapat ganjaran sepertimana yang dijanjikan Allah terhadap amalan-amalan yang dilakukan di dalam Masjidil Haram. 

Bagaimanapun kekeliruan tersebut tidak ketara berlaku dikalangan jemaah Malaysia kerana kebanyakan mereka semua telah sedia maklum atau telah diberitahu oleh pembimbing-pembimbing ibadat haji yang disediakan Tabung Haji. 

Suasana selepas solat asar semalam.
Gambar dirakam dari tingkat tiga Masjidil Haram. Untuk pengetahuan anda semua, setiap kali selepas solat waktu pasti akan ada solat jenazah diadakan. Ada masanya mencecah belasan jenazah.
Tapak rumah Nabi Muhammad SAW dilahirkan yang kini dijadikan Perpustakaan Mekah. Tidak jauh dari tapak ini terletak tapak rumah kediaman Baginda sebelum berhijrah ke Madinah. Bagaimanapun tapak berkenaan sukar untuk dilihat sekarang kerana terlibat dalam pembesaran Masjidil Haram. Seorang penduduk tempatan memaklumkan kepada saya, ada cubaan untuk merobohkan perpustakaan di atas untuk pembangunan. Bagaimanapun menurut penduduk tempatan berkenaan, setiap kali jentera menghampiri perpustakaan berkenaan, jentera tersebut tidak akan dapat berfungsi. Akhirnya mereka terpaksa melencongkan pembangunan yang sedang dilakukan sekarang. Sejauh mana kebenarannya saya tidak pasti. Wallahualam !

Saturday, October 22, 2011

Kini Segalanya Ada Di Mekah

Jika 10 atau 20 tahun dahulu setiap jemaah haji yang hendak ke Mekah akan membawa pelbagai jenis barangan keperluan harian untuk kegunaan mereka selama 40 hari. Dari sabun mencuci pakaian hinggalah kepada makanan. Semuanya lengkap. Jika orang Kelantan pula mereka tidak akan tinggalkan makanan tradisi mereka, iaitu budu. Mereka bawa budu dari Kelantan sampai ke Mekah.

Itu dulu, kini zaman telah berubah. Kini semuanya boleh didapati di Mekah. Mekah bukan sesuatu yang asing lagi bagi jemaah haji kita sekarang. Ada kalanya kita merasakan seolah-olah berada di tanah air sendiri. Saluran TV 1 kini boleh ditonton di Mekah. Yang paling mengejutkan saya, budu pun sudah ada dijual di Mekah sekarang ini.

Budu Mekah

Suka atau tidak suka, hakikat yang sebenarnya Tabung Haji telah memainkan peranan yang baik dalam soal menguruskan jemaah haji Malaysia. Setiap tahun mereka akan tingkatkan mutu perkhidmatan yang diberikan kepada jemaah. Selain itu mereka juga mempunyai hubungan yang baik dengan agensi-agensi Kerajaan Arab Saudi yang berkenaan dengan haji.

Dalam usaha menjaga hubungan baik dengan pihak berkuasa Arab Saudi, boleh dikatakan hampir setiap hari Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Syed Salleh Syed Abdul Rahman mengunjungi pihak-pihak berkuasa haji Arab Saudi sebagai tanda hormat kepada mereka serta merapatkan lagi ikatan yang telah terjalin. Semalam (sabtu) Ketua Rombongan Haji mengunjungi Ketua Polis Masjidil Haram bagi bertanya khabar jika mereka ada apa-apa masalah dengan jemaah Malaysia.

Di setiap maktab yang menempatkan jemaah Malaysia segala kemudahan boleh didapati termasuklah sajian makanan Malaysia. Di setiap maktab juga ada disediakan surau jika ada jemaah yang tidak mampu untuk ke Masjid. Selain surau, guru-guru agama serta pembimbing ibadat haji juga turut disediakan. Mana-mana jemaah yang ada keraguan atau kemusyikilan boleh berjumpa dengan mereka pada bila-bila masa. Klinik juga turut disediakan di setiap maktab.
Ada masanya saya kasihan melihat jemaah-jemaah haji negara lain. Ada yang menginap di Masjid, ada yang menjadikan kawasan lapang dimana-mana tempat sebagai tempat tinggal mereka. Dari pemerhatian saya setakat ini boleh saya katakan jemaah Malaysia yang diuruskan dengan cara terbaik dan tersusun dari segenap aspek. Jemaah Indonesia juga kelihatan teratur , cuma ianya tidak semantap jemaah Malaysia. Mungkin faktor bilangan jemaah yang ramai serta petugas yang kurang menjadi masalah kepada mereka.

TM menyediakan ruang khas di setiap maktab-maktab tertentu bagi membolehkan jemaah menghubungi ahli keluarga di Malaysia dengan bayaram Saudi Riyal 1 / minit

Pos Malaysia juga turut menyediakan kaunter khas bagi urusan penghantaran barangan yang dibeli jemaah haji.

Suasana di lobi maktab penginapan jemaah

Pelbagai juadah Malaysia boleh didapati di kafeteria ini

Thursday, October 20, 2011

Ziarah Sekitar Mekah

King Faisal Road

Semalam penulis dan sekumpulan jemaah-jemaah haji Malaysia mengambil kesempatan untuk melakukan ziarah di sekitar Mekah. Rombongan kami bergerak menggunakan bas dan rombongan dipimpin oleh seorang penduduk Mekah yang berasal dari Patani .

Lokasi pertama yang dituju adalah Jabal Sur. Berada dalam jarak antara 5-6 km dari Masjidil Haram, Jabal Sur menjadi tempat Nabi Muhammad SAW dan Saidina Abu Bakar berlindung dari orang-orang kafir yang cuba membunuh Baginda ketika Baginda dalam perjalanan untuk berhijrah dari Mekah ke Madinah.

Ketika Rasulullah SAW dan Saidina Abu Bakar berada di dalam Gua Sur, Allah SWT memberi pertolongan dengan menghantar malaikat untuk membuat sarang labah-labah sehingga menutup gua tersebut sehingga orang kafir yang sudah tiba di pintu gua merasakan tidak mungkin Nabi Muhammad SAW bersembunyi di situ. Akhirnya mereka pun pulang dengan tangan hampa dan Baginda serta Saidina Abu Bakar pun terselamat dari dibunuh oleh orang-orang kafir.
Selama tiga hari Rasulullah dan Saidina Abu Bakar berlindung dalam gua tersebut dan dalam tempoh tersebut anak perempuan Saidina Abu Bakar, Asma Binti Abu Bakar yang ketika itu sedang mengandung sembilan bulan memanjat gunung tersebut untuk menghantar makanan kepada bapanya serta Rasulullah. Untuk pengetahuan anda, masa dua jam diperlukan untuk memanjat bukit tersebut sebelum sampai di puncaknya yang mana terletaknya gua tersebut.

Selepas tiga hari dan keadaan telah pun selamat , datang Abdullah Bin Uraiqith membawa dua ekor unta untuk dijadikan kenderaan bagi Rasulrullah dan Saidina Abu Bakar berhijrah ke Madinah. Setelah menempuh perjalanan selama enam hari enam malam akhirnya Baginda selamat sampai di Madinah.

Lokasi kedua yang dituju oleh rombongan penulis adalah Padang Arafah, dimana ianya juga turut terletak Jabal Rahmah. Di situlah yang dikatakan tempat pertemuan dan perkenalan antara Datuk dan Nenek kita, iaitu Nabi Adam dan Siti Hawa. Bagi orang yang ingin mencari jodoh, penulis difahamkan di situlah tempat yang sebaik-baiknya untuk berdoa.


Pasangan adik beradik dari Selangor dan Pulau Pinang di Jabal Rahmah

Selain menjadi tempat pertemuan Nabi Adam dan Siti Hawa , Jabal Rahmah juga menjadi tempat Rasulullah berwuquf pada musim haji. Ketinggiannya pada anggaran saya sekitar 500-600 meter dan hanya memerlukan masa 10-15 minit untuk mendakinya. Sebuah papan tanda besar dalam pelbagai bahasa diletakkan di bahagian kaki gunung tersebut untuk mengingatkan pengunjung agar tidak melakukan perbuatan bidaah atau khurafat.

Selepas iu kami dibawa untuk melawat sekitar Mudzalifah dan Mina iaitu tempat jemaah haji bakal mengutip anak batu serta bermalam selama tiga malam. Berbeza dengan di Arafah, di Mina khemah-khemah untuk jemaah telah siap dipasang, manakala di Arafah kelihatan masih belum siap.


Kemudian kami dibawa ke Kampung Ja'aranah untuk membolehkan jemaah-jemaah haji yang ingin melakukan umrah berihram dan berniat. Kampung Ja'aranah adalah miqat Rasulullah setiap kali Baginda pulang dari berdakwah di Taif. Baginda akan berhenti di situ untuk berihram dan berniat sebelum memasuki Tanah Haram untuk melakukan umrah. Untuk pengetahuan anda semua Ja'aranah terletak di luar Tanah Haram.

Pada masa itu Ja'aranah hanyalah sebuah perkampungan yang amat-amat kecil dan dikelilingi oleh gunung-ganang. Ianya hanya dihuni oleh kaum Arab Badwi. Bagaimanapun selepas ianya menjadi miqat Rasulullah kampung berkenaan mula membesar dan terus membesar. Kini ianya dikunjungi ribuan orang sehari.

Masjid Ja'aranah yang menjadi tempat miqat sebelum umrah

Tangki air@telaga

Di tempat yang menjadi miqat Rasulullah itu terdapat sebuah telaga. Pernah terjadi seorang wanita yahudi yang cuba membunuh Rasulullah dengan meletakkan racun di dalam telaga tersebut kerana marah kepada Baginda akibat dari kegiatan-kegiatan dakwah yang dijalankan Baginda yang mengajak semua orang beriman kepada Allah.

Bagaimanapun cubaan musuh islam itu gagal, kerana ketika Nabi SAW menimba air dari dalam telaga tersebut dan memasukkan ke dalam mulut Baginda, sebelum ditelan Allah telah menurunkan wahyu kepada Baginda mengatakan air itu beracun. Lalu Baginda meludah kembali air di dalam mulutnya itu ke dalam telaga itu, dan semua racun dalam telaga tersebut hilang. Telaga tersebut masih wujud dan masih mengeluarkan air sehingga ke hari ini. Bagaimanapun ianya telah berubah kerana kini air yang diambil bukan lagi melalui cara timba, sebaliknya dengan cara menyedut menggunakan paip dan sebuah tangki besar dibina diatasnya.

Destinasi ziarah kami seterusnya adalah Jabal Nur dimana terletaknya Gua Hira. Di gua tersebutlah Nabi Muhammad SAW pertama kali menerima wahyu Allah melalui Malaikat Jibril. Disitulah turunnya ayat Quran yang pertama iaitu ayat Iqra (Surah Al-Alaq) dan disitulah juga bermulanya peristiwa Nuzul Quran yang kita sambut sehingga kini setiap kali Ramadhan.
Jabal Nur
Untuk mendakinya perlu masa 1.5 jam

Destinasi terakhir rombongan kami adalah Kubur Ma'ala, yang mana ianya turut menempatkan kubur isteri Nabi Muhammad SAW, Saidatina Khatijah R.A serta anaknya Qasim. Kubur Ma'ala juga menjadi tempat jemaah-jemaah haji yang meninggal dunia dikebumikan.

Kubur Ma'ala wujud sejak zaman Rasulullah SAW , entah berapa juta jenazah telah dikebumikan disana tetapi masih digunakan sehingga ke hari ini sedangkan daripada pemerhatian mata kasar penulis keluasan tanahnya lebih kecil dari Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara Kuala Lumpur. Tetapi kubur Ma'ala tidak menghadapi masalah tidak cukup tanah sepertimana yang sering terjadi di Malaysia kerana kubur tersebut mengamalkan sistem 'recycle' lubang kubur. Selepas tempoh 8 bulan satu-satu jenazah dikebumikan, kubur tersebut akan digali semula untuk dikebumikan jenazah lain pula.
Kubur Ma'ala
Tidak ada sebarang batu nisan dipacak atau belindan dipasang

Rombongan ziarah tamat menjelang waktu Zohor dan banyak pengalaman yang berharga yang berjaya kami kutip dalam tempoh separuh hari ziarah berkenaan. Suka saya hendak mengesyorkan kepada orang-orang muda di negara kita, datanglah ke Mekah. Jika tidak datang haji sekali pun datanglah untuk umrah kerana banyak pengalaman-pengalaman berharga yang boleh kita kutip. Tidak perlu untuk kita hendak merasa takut atau berfikiran Mekah hanya untuk orang tua-tua atau orang yang telah insaf. Buangkan tanggapan tersebut.

Jiwa kita akan tenang, aman dan tenteram sepanjang kaki kita berpijak di Tanah Haram. Ianya benar-benar membuatkan kita menginsafi diri. Fikiran kita sudah tidak ingat perkara-perkara lain pada ketika itu, yang kita ingat hanyalah Allah, Nabi dan siapa kita sebelum itu. Apabila termenung sendirian, tanpa disedari air mata akan meleleh dengan sendiri kerana menginsafi diri.

Padang Arafah

Padang Arafah

Jabal Rahmah

Papan tanda peringatan di Jabal Rahmah agar pengunjung tidak melakukan perbuatan bidaah atau khurafat

Orang Melaka

Ais krim Mekah


Pakcik dan Makcik juga dari Melaka

Jemaah Malaysia yang ingin melalukan umrah berihram di miqat Kampung Ja'aranah

Sempadan Tanah Halal dan Haram